Farhan, 32 Tahun yang juga bekas peserta Akademi Fantasia musim keempat berkata, kehamilan ini adalah yang kedua selepas mengalami keguguran sebulan sebelum menyambut Ramadan baru-baru ini.
"Sebenarnya saya tidak menyedari diri hamil kali pertama sehinggalah mengalami pendarahan. Apabila membuat pemeriksaan doktor mengesahkan saya mengandung tetapi janin tidak dapat diselamatkan.
"Memang sedih sebab saya dan suami menanti dua tahun untuk mendapatkan anak. Selepas itu, saya hanya serahkan kepada rezeki.
"Alhamdulillah, tak sangka pula saya disahkan hamil sekali lagi pada sambutan Aidilfitri lalu. Apabila membuat pemeriksaan, doktor memaklumkan usia kandungan sudah mencecah dua bulan," katanya.
Menurut Farhan, dia tidak mengalami alahan yang teruk sebaliknya masih aktif menyanyi seperti biasa.
Dalam masa sama, suaminya Ahmad Rashadan Suhaimi, 32, pula yang terkena alahan seperti berselera makan dan mengidam pelbagai jenis makanan.
"Sejak disahkan hamil, suami memang tidak membenarkan saya melakukan kerja-kerja berat. Tetapi dari segi kerjaya saya masih aktif menyanyi. Malah setiap minggu saya sibuk memenuhi undangan nyanyian.
"Cuma doktor menasihatkan saya supaya tidak terlalu kerap menaiki pesawat. Selain itu, ibu dan ibu mentua juga sentiasa memberikan nasihat supaya menjaga kandungan," katanya.
Farhan dijangka bersalin pada Mac tahun depan dan tidak kisah mengenai jantina anak asal sahaja bayi yang dilahirkan kelak sihat dan sempurna.
Farhan dan suaminya berkahwin pada 10 Oktober 2014.
KLIK SINI !!! UNTUK MELIHAT VIDEO BELIAU !!!
0 comments:
Post a Comment